Melaka Sasar Kutipan Cukai Pintu Cecah RM120 Juta

melaka

MELAKA, 28 Jun (Bernama) — Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyasarkan kutipan cukai taksiran atau cukai pintu meningkat kepada 85 peratus iaitu kira-kira RM120 juta tahun ini, berbanding 80 peratus atau RM105 juta tahun lepas.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata sasaran itu melibatkan 149,0000 pemilik premis di bawah kawasan pentadbiran MBMB.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, MBMB menawarkan 200 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM210,000 termasuk hadiah utama Perodua Axia AV bernilai RM50,000.

BACA: Semuanya yang anda perlu tahu tentang cukai tanah, cukai petak dan cukai pintu!

“Hadiah Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2023 terbahagi kepada dua kategori pembayar iaitu secara dalam talian yang menawarkan hadiah utama ialah Perodua Axia AV selain sebuah motosikal Yamaha dan tiga motosikal Honda.

“..manakala bagi kategori pembayar cukai secara manual pula, hadiah utama cabutan bertuah terdiri daripada sebuah mesin basuh, dua komputer riba dan sebuah peti sejuk beku,” katanya pada sidang akhbar Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBMB Tahun 2023 Sempena Sambutan Ulang Tahun Dua Dekad MBMB di sini hari ini.

Beliau berkata hadiah istimewa yang ditawarkan bagi pembayar dalam talian bertujuan menggalakkan lebih ramai pembayar menjelaskan cukai menggunakan kaedah tersebut.

Katanya, selain itu, tiada caj perkhidmatan dikenakan ke atas pembayar cukai terlibat selain pemberian diskaun bagi Permohonan Pindah Milik Nama bagi Borang I dan J ke atas Pegangan Berkadar daripada RM30 kepada RM15 hingga 31 Ogos depan.

Rais berkata syarat kelayakan bagi program cabutan bertuah berkenaan ialah warganegara Malaysia, pemilik menjelaskan semua cukai dan tunggakan sebelum atau pada 31 Ogos ini dan pemilik telah melengkapkan maklumat pemilik (Borang I dan J) seperti nama pemilik terkini dan nombor kad pengenalan.

Dalam pada itu, beliau berkata kutipan cukai taksiran penting kerana ia akan digunakan semula untuk membangunkan infrastruktur dalam kawasan pentadbiran MBMB sekali gus memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat khususnya pembayar cukai.

“Sehingga hari ini, jumlah cukai taksiran tertunggak mencecah RM100 juta dan jumlah ini adalah sangat besar dan sekiranya dijelaskan pemilik premis, lebih banyak manfaat dapat dinikmati mereka dalam bentuk pembangunan infrastruktur,” katanya.